“Bermain Tanah dan Air Hujan Boleh Mengurangkan Stres?”

Bismillah. Salam.

  1. Dah lama nak tulis, tapi terlupa. Beberapa bulan lepas saya ke tanah perkuburan, mengiringi jenazah anak saudara yang meninggal dunia di usia yang sangat muda akibat jangkitan influenza.

  2. Saya menyaksikan betapa sabarnya ibu dan ayah anak saudara ini menerima takdir. Malah, mereka banyak melakukan perkara baik semasa ditimpa ujian ini, dengan niat, mudah-mudahan kebaikan mereka dapat menambahkan rasa “kehambaan” mereka kepada Allah dan memuliakan kematian anak mereka.

  3. Mungkin disebabkan kesabaran dan kebaikan ibu bapa anak saudara saya ini, Allah ilhamkan saya satu perasaan “sayu dan tenang” semasa majlis pengkebumiannya. Suasana tenang itu juga mengilhamkan saya untuk menulis tentang ini.

  4. Semasa saya menanggalkan kasut untuk masuk ke tanah perkuburan (kerana teringatkan kuliah Ustaz Shamsuri tentang hadis tanggalkan kasut untuk masuk ke tanah perkuburan):

    • Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melihat seorang lelaki yang berjalan di tanah perkuburan dengan memakai kasut, lalu Baginda bersabda: ‘Wahai pemakai kasut, malanglah engkau! Tanggalkanlah kasutmu.’ Maka lelaki itu menoleh, dan apabila dia mengenali Rasulullah SAW, dia pun menanggalkan kasutnya dan melemparkannya.” (Riwayat Abu Daud)
  5. Sebaik saja menjejakkan kaki ke tanah tanpa berlapik, tidak semena-mena saya teringat akan bacaan saya berkaitan kajian saintifik berkenaan kesan psikologi kepada manusia yang sering memijak tanah tanpa lapik.

  6. Jadi saya terus terfikir, walaupun tafsiran popular mengulas hadis ini adalah dari sudut adab di tanah perkuburan, tetapi perbuatan menanggalkan kasut ini nampaknya ada juga mempunyai kebaikan dari kaca mata sains.

  7. Saya terfikir, hadis ini mungkin salah satu cara hikmah, “memaksa manusia” berhubung secara langsung dengan tanah sekali-sekala.

  8. Berjalan tanpa kasut atau memijak tanah secara langsung mempunyai manfaat psikologi yang signifikan. Terapi ini dikenali sebagai “grounding” atau “earthing”. Grounding melibatkan aktiviti yang menghubungkan tubuh secara langsung dengan permukaan bumi, seperti berjalan tanpa kasut di atas tanah atau rumput.

  9. Kajian menunjukkan bahawa grounding dapat mengurangkan stres, meningkatkan mood, dan membantu mengatasi kesedihan. Grounding dipercayai dapat mengalirkan tenaga positif dari bumi, yang memberi kesan baik terhadap kesihatan fizikal dan mental.

  10. Jadi, hadis ini juga mungkin salah satu bentuk “suruhan secara tersirat” yang Islam gariskan supaya orang yang diuji dengan kesedihan akibat kematian orang yang disayangi, dapat dipujuk dan ditenangkan sedikit kesedihannya dengan terapi memijak tanah. Subhanallah.

  11. Lebih menambah kesayuan hati, semasa proses pengkebumian hampir selesai, ketika orang ramai mulakan bacaan doa, turun hujan renyai-renyai. Saya teringat satu lagi hadis Rasulullah SAW bersabda: “Dua doa yang tidak akan ditolak: doa ketika adzan dan doa ketika turun hujan.” (HR. Al-Bukhari)

  12. Terlintas di fikiran, mungkin ini tanda kasih sayang Allah untuk mak ayahnya, yang menunjukkan, InsyaAllah doa-doa kebaikan yang dibacakan ketika ini, Allah tidak akan tolak. Kajian psikologi menunjukkan bahawa berdoa dan keyakinan bahawa permintaan kita tidak akan ditolak dapat memberi kelegaan kepada orang yang sedih. Doa adalah bentuk energi yang kuat dan dapat membantu mengurangkan stres serta meningkatkan kesejahteraan emosi.

  13. Selain itu, saya juga teringat hadis yang menyebut tentang sahabat yang mengenakan tubuh mereka kepada air hujan yang baru turun kerana ia adalah makhluk yang baru Allah cipta. Anas bin Malik R.A meriwayatkan: “Hujan turun dan kami pada ketika itu bersama dengan Rasulullah SAW. Lalu baginda SAW menyelak baju baginda sehinggalah hujan menimpa badan baginda. Kemudian kami bertanya: ‘Wahai Rasulullah, mengapakah anda melakukan ini?’ Maka jawab baginda SAW: ‘Kerana ia baru sahaja datang (turun) dari Tuhannya yang Maha Tinggi.’” (Riwayat Muslim)

  14. Kajian menunjukkan bahawa hujan renyai-renyai mempunyai banyak manfaat kepada tubuh manusia dari sudut psikologi dan kesihatan. Bunyi hujan yang menenangkan dapat menurunkan produksi hormon stres, iaitu kortisol, yang membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan mood. Bau hujan, yang dikenali sebagai petrichor, juga mempunyai kesan menenangkan dan dapat membantu membebaskan emosi dan pemikiran yang mengalami tekanan. Subhanallah lagi.

  15. Tiga kejadian berturut-turut Allah hadirkan dalam majlis pengkebumian ini, yang mampu memberi kesan ketenangan dan memujuk hati sedih berdasarkan kajian psikologi. Maha Suci Allah yang sangat berlemah lembut dengan hamba-hambaNya yang sabar ketika diuji.

  16. Jadi saya gabungkan kisah di hari pengkebumian anak saudara saya, dengan satu status yang pernah saya tulis tentang “aktiviti anak-anak saya bermain tanah ketika hujan”. Mudah-mudahan ada kebaikan untuk yang mahu membaca. 🙂

  17. Penulisan saya di page Zonkita beberapa tahun lepas (setelah diperbaiki ayat dan penceritaannya, bagi memudahkan pembacaan). Manusia yang diciptakan dari tanah akan lebih kuat apabila selalu berhubung dengan tanah. Saintis mengesyorkan agar kita mencari masa untuk berjalan tanpa kasut di pantai, tanah berpasir, atau berlumpur untuk mendapatkan rawatan semulajadi bagi penyakit letih, lesu, muram, dan kurang keyakinan diri.

  18. Dalam Islam, kita disuruh untuk sentiasa ingat mati – kubur kita adalah tanah. Kita juga dianjurkan untuk selalu berbakti kepada tanah melalui bercucuk tanam.

  19. Rasulullah SAW juga bersabda: “Tidaklah seorang muslim menanam tanaman atau menabur benih, lalu dimakan oleh burung, manusia, atau binatang, melainkan itu menjadi sedekah baginya.” (HR. Bukhari dan Muslim)

  20. Selain itu, Allah SWT berfirman dalam Al-Quran: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari saripati (berasal) dari tanah.” (Surah Al-Mu’minun, 23:12)

  21. Kanak-kanak yang kerap bermain tanah, berjalan tanpa kasut, dan mandi hujan akan membesar dengan lebih lasak dari segi mental dan fizikal. Aktiviti-aktiviti ini membantu meningkatkan sistem imun semulajadi badan dan mengurangkan risiko penyakit.


PENUTUP DAN KESIMPULAN:

  1. Maka, jom kita amalkan sunnah menanggalkan kasut ketika memasuki tanah perkuburan. Selain itu, jangan lupa galakkan anak-anak bermain di tanah, dan jangan biarkan mereka asyik bermain game dan telefon saja dalam rumah.

  2. Jika benar hadis dan kajian saintifik ini berkaitan antara satu sama lain, mudah-mudahan ia menjadikan kita lebih “cintakan sunnah”. Sesungguhnya, di sebalik setiap pesanan Allah dan Rasulullah, ada hikmah dan kebaikan yang bermanfaat untuk manusia yang mahu berfikir.

  3. Sebagai penutup, ingatlah firman Allah SWT: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Surah Al-Ahzab, 33:21)

  4. [Mohon maaf sekiranya ada rujukan hadis yang kurang tepat, kekurangan pada penulisan ini, kami juga mengalu-alukan Ilmuan agama yang berminda saitifik untuk membuat kajian ilmiah yang berkaitan dengan apa yang kami kompilasikan dalam penulisan ini.]

  5. PENAFIAN: Berjalan tanpa kasut untuk seketika sebagai proses “grounding” memang baik untuk kesihatan, tetapi ada kebahayaan jika kita berjalan tanpa kasut tanpa melihat keadaan persekitaran, seperti bahaya parasit, kotoran najis, paku, dan sebagainya. Sama juga dengan mandi hujan, ada manfaat untuk badan tetapi bukan semestinya kita perlu melakukannya setiap masa dalam semua keadaan. Bahaya mandi hujan yang tercemar (di kawasan perkilangan) dan mandi hujan ketika hujan lebat yang disertai guruh dan kilat perlu diambil kira. Bertindak bijak dalam mengamalkan sunnah juga adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya agama itu mudah, dan tidaklah seseorang itu memberat-beratkan agama melainkan dia akan kalah (tidak dapat melaksanakannya).” (HR. Bukhari)


Rujukan:
- ParentingCenter "10 Manfaat Main Hujan-hujanan untuk Anak & Tips agar Aman."
- theAsianparent. "7 Manfaat Anak Main Tanah, Meningkatkan Kreativitas!"
- Hello Sehat. "Manfaat Anak Main Hujan-hujanan dan Tipsnya agar Tetap Aman."
- Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. "IRSYAD HUKUM SIRI KE-856: HUKUM MELANGKAH KUBUR."
- Santri Digital. "3 Hadits Tentang Hujan: Anugerah dan Rahmat dari Allah SWT."
- Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. "AL-KAFI #1563: HUKUM BASAHKAN BADAN DENGAN AIR HUJAN KETIKA HUJAN TURUN.
- Hello Doktor. "Betul Ke Bau Hujan BOLEH Kurangkan Stress? Ini 5 Bauan Lain Yang Berkesan!"
- IDN Times. "5 Manfaat Grounding untuk Kesehatan Fisik dan Jiwa."

Ulasan