Kejadian di Masjid dan Bukti "Futuristiknya" Hadis dalam Kehidupan
Maghrib tadi, saya menyaksikan satu insiden yang membuat saya tergerak hati untuk menulis dan berkongsi tentangnya.
Seorang lelaki tergelincir dan jatuh di tempat wuduk di sebuah masjid. Memang lantai masjid itu licin, dan reka bentuk lantai seperti ini bukanlah sesuatu yang asing di banyak masjid dan surau di sekitar kawasan saya.
Saya tertanya-tanya, apakah rasional di sebalik penggunaan lantai seperti itu? Adakah kerana nak jimat, cantik, dan mudah dicuci, tapi tak ambil kira risiko jemaah tergelincir?
Entahlah, tapi bukan isu lantai licin yang nak saya fokuskan dalam penulisan ini.
Cuma nak bagitahu, hingga selesai solat Maghrib tadi, saya perhatikan lelaki itu masih memegang tangannya—mungkin masih menahan sakit akibat kecederaan tadi.
Kejadian ini mengingatkan saya kepada hikmah Rasulullah ﷺ dalam hadis-hadis baginda—betapa bijak, berkesan, relevan, dan praktikalnya ajaran Islam untuk diterapkan dalam kehidupan seharian.
Salah satu hadis yang terlintas di fikiran ialah pesanan agar tidak terburu-buru dalam melakukan sesuatu:
"Apabila kamu mendengar iqamat, maka berjalanlah dengan tenang dan jangan tergesa-gesa. Apa yang sempat kamu solat bersama imam, solatlah, dan apa yang tertinggal, sempurnakanlah."— (Riwayat al-Bukhari, no. 636, dan Muslim, no. 602)
- Rasulullah ﷺ turut mengingatkan bahawa sikap berhati-hati itu datang daripada Allah, manakala gopoh-gapah adalah daripada syaitan:
"Ketenangan itu daripada Allah, dan gopoh-gapah itu daripada syaitan."— (Riwayat al-Tirmizi, no. 2012)
Ustaz Shamsuri pernah menghuraikan hadis ini dengan memberi contoh tentang orang yang lewat ke masjid. Walaupun imam sudah memulakan solat, kita disuruh berjalan dengan tenang dan tidak berlari.
Tiada kebaikan dalam tergesa-gesa kerana ia boleh mendatangkan mudarat. Rasulullah ﷺ telah mengajarkan sikap berhati-hati ini sejak zaman baginda, meskipun pada waktu itu lantai masjid tidak dilapisi jubin licin seperti sekarang.
Betapa hikmah dari hadis baginda tetap relevan sehingga kini—menasihatkan kita agar sentiasa berhati-hati, walaupun dalam mengejar perkara baik seperti menyertai solat berjemaah.
Berebut Saf Depan dengan Teratur
- Islam juga mengajarkan agar kita berusaha mengisi saf depan dalam solat berjemaah. Rasulullah ﷺ bersabda:
"Jika manusia mengetahui kelebihan berada di saf pertama dan panggilan azan, dan mereka tidak mendapatkannya kecuali dengan diundi, nescaya mereka akan melakukan undian."— (Riwayat al-Bukhari, no. 615, dan Muslim, no. 437)
Tanpa panduan seperti ini, mungkin jemaah akan duduk berselerak seperti dalam kuliah atau majlis ilmu. Bahagian depan akan dibiarkan kosong, kerana ramai lebih suka duduk di ruangan "tersembunyi"—seperti di tepi tiang, di balik pintu, atau di depan hembusan "air cond".
(Haha, maaf kalau ada yang terasa. Sekadar contoh nakal, untuk melawak.)
Subhanallah, bijaknya Islam. Islam ajar kita supaya berhati-hati—"slow and steady"—dalam ibadah, tapi dalam masa yang sama anjurkan kita rebut fadhilat dan ganjaran di saf depan.
Orang yang betul-betul memahami dan beramal dengan hadis-hadis Nabi akan nampak betapa cantik dan sistematiknya susun atur dalam ibadah Islam.
Setiap tindakan ada tempat dan cara yang sesuai, seimbang antara ketenangan dan usaha bersungguh-sungguh.
Kisah Lelaki Amerika dan Keajaiban Saf Solat
Saya teringat satu penulisan dalam bahasa Inggeris yang pernah saya baca beberapa tahun lepas. Saya rasa elok saya tutup penulisan ini dengan kisah tersebut, yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia.
(Kebenaran kisah ini mungkin sukar dipastikan, tapi ada sesuatu yang boleh kita renungkan bersama.)
Dalam satu program bertajuk One Family di saluran Majd Channel, Dr. Yahya Alyahya, ketua Komiti Dakwah Islam, menceritakan kisah seorang lelaki Amerika bukan Muslim.
Lelaki itu berbincang dengannya mengenai Islam ketika menonton siaran langsung Solat Isya' pada bulan Ramadhan di Makkah.
Lelaki Amerika itu, penuh kekaguman, bertanya, "Bagaimana mereka semua kelihatan begitu tidak terurus, dengan lebih daripada tiga juta orang berhimpit di Masjidil Haram?"
Dr. Yahya tersenyum dan bertanya, "Berapa lama kamu fikir mereka akan menguruskan diri untuk tersusun dan memulakan solat?"
Lelaki itu menjawab, "Sekurang-kurangnya dua hingga tiga jam."
Dr. Yahya menambah, "Tapi Masjidil Haram ada empat tingkat."
Lelaki itu terkejut, "Oh, kalau begitu, pasti akan mengambil masa lebih kurang dua belas jam!"
Dr. Yahya berkata lagi, "Bayangkan, mereka datang dari seluruh dunia dengan bahasa yang berbeza. Mungkinkah mereka dapat berada dalam satu barisan untuk memulakan solat?"
Lelaki itu menggeleng kepala, "Amat mustahil."
Ketika waktu solat tiba, Sheikh Abdul Rahman As-Sudais melaungkan, "Rapatkan saf..."
Dalam sekelip mata, lebih tiga juta Muslim tersusun rapi hanya dalam beberapa saat.
- Lelaki Amerika itu terpana dan akhirnya berkata:"Ashhadu alla ilaha illallah, wa ashhadu anna Muhammadan Rasulullah.""Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya."
Subhanallah, siapa sangka, perkara kecil seperti meluruskan saf sahaja boleh menjadi sumber hidayah, jika dibuat dengan betul sesuai dengan ajaran Rasulullah ﷺ.
Nota: Keprihatinan Terhadap Keselamatan Masjid dan Surau
Apapun, kami juga menggesa pengurusan masjid dan surau lebih prihatin serta mengambil langkah memastikan kawasan wuduk dan tandas tidak licin dan selamat bagi jemaah dewasa mahupun kanak-kanak.
Berikut beberapa cadangan untuk mengurangkan risiko lantai licin:
- Epoxy anti-slip: Lapisan epoxy bertekstur kasar untuk meningkatkan cengkaman.
- Mats anti-slip: Alas getah anti-gelincir di kawasan basah.
- Lantai bertekstur: Gantikan jubin licin dengan jubin atau konkrit bertekstur.
- Kami mengalu-alukan pakar lantai memberikan cadangan kepada AJK masjid agar masalah ini dapat diatasi, terutama bagi masjid atau surau yang dalam pembinaan.
Kesimpulan
Peristiwa di masjid tadi mengingatkan saya betapa benar dan berhikmahnya ajaran Islam.
Dari larangan tergesa-gesa hinggalah galakan mengisi saf depan, setiap hadis Rasulullah ﷺ memiliki hikmah mendalam dan kekal relevan hingga kini.
Ajaran-ajaran ini bukan sekadar teori, tetapi praktikal untuk membentuk keperibadian Muslim yang berkualiti, baik dalam ibadah mahupun urusan harian. Betapa tepatnya saranan-saranan yang terdapat dalam hadis, dengan pendekatan "psikologi" manusia sepanjang zaman.
Kejadian ini membuatkan saya teringat sekali lagi kata-kata yang Ustaz Shamsuri selalu ulang iaitu : "Betapa Futuristiknya (berfikiran jauh, melangkaui masa, sesuai sepanjang zaman) hadis Nabi"
- Benarlah firman Allah :Dan Kami tidak mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.— (Surah Al-Anbiya’, 21:107)
Semoga kita terus mengambil pengajaran daripada al-Quran dan sunnah, serta memperbaiki setiap langkah dalam kehidupan kita.
Wallahua'lam.
Ulasan
Catat Ulasan