Pengalaman dan “Analogi” dari Seorang “Hantu Kacang Goreng” Tentang "Media Dakwah Jalan Pertengahan"

 

  1. Dalam beberapa siri penulisan kami sejak beberapa hari lepas, ada saja komen-komen yang seolah-olah cuba melabel kami adalah dari golongan tertentu.
  2. Maka penulisan ini kami sampaikan untuk kawan-kawan yang lulus KBAT (kemahiran berfikir aras tinggi — errr kalau aras sederhana pun ok kot, jangan tak ada kemahiran langsung).

  1. Pernahkah kalian merasa betapa peritnya mengupas kulit kacang goreng dengan ibu jari yang terluka?
  2. Ibu jari saya pernah cedera, akibat terlalu ghairah dan tidak berhati-hati ketika memotong kuku.
  3. Lebih menyakitkan lagi apabila ada antara kacang tu, kulitnya tiada garisan tengah, betapa sukarnya memecahkannya tanpa merosakkan isi di dalam.
  4. Kacang jenis kulit tak ada garisan tengah ni, jika berjaya dikupas oleh ibu jari yang sakit, isinya akan pecah berkecai dan berterbangan, jatuh berderai ke lantai bak cermin kaca retak seribu. (Chewaaah - sungguh puitisnya gambaran ini)
  5. Barulah saya sedar betapa pentingnya garisan tengah yang Tuhan cipta pada kulit kacang. Ahhahahaha…

  1. Dalam mengupas kacang pun, kita perlu memberi tekanan sederhana, tidak terlalu kuat sehingga merosakkan isi kacang, dan tidak terlalu lembut sehingga tidak mampu memecahkan kulit lalu gagal mendapatkan isi.
  2. Kita juga perlu mencari garisan tengah - supaya isinya dapat kita ambil dengan sempurna.
  3. Tangan tak sakit, isi tak pecah rosak sia-sia.


Inilah Falsafah Golongan Pertengahan:

  1. Dalam kehidupan, kita sering perlu mencari keseimbangan, seperti garisan tengah pada kulit kacang.

  2. Dengan keseimbangan ini, kita dapat mencapai hasil yang terbaik tanpa merosakkan apa yang berharga di dalamnya.

  3. Sama seperti dalam dakwah, kita perlu bijak menyeimbangkan pendekatan kita agar mesej yang disampaikan diterima dengan baik, tanpa menimbulkan kesakitan atau kerosakan.

  4. Hadis Riwayat Al-Baihaqi: “Sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan.” (Riwayat al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman, 6176)

  5. Dengan mengamalkan sikap sederhana, adil, dan seimbang, kita dapat mencari hikmah dalam setiap perbahasan agama.

  6. Sikap ini bukan sahaja memudahkan kita dalam menjalani kehidupan, tetapi juga memastikan kita tidak terjerumus ke dalam sikap melampau yang boleh membawa kepada keburukan.

Siapakah Orang Beragama yang Seimbang?

Itulah orang yang tenang dan berlapang dada mendengar penjelasan.

Tidak gopoh melemparkan kecaman, tidak terpengaruh dengan label atau gelaran.

Mereka mendengar dulu hingga selesai perbahasan, kemudian menilai sumber rujukan, kualiti penerangan dan tahap kefahaman.

Bukan taksub kepada guru semata-mata, sehingga kita buta kepada kebenaran, menelan segala yang disampaikan, tanpa semakan tanpa tapisan.

Hati-hati dengan “kegelinciran agamawan dan para pemimpin atau imam yang menyesatkan” di akhir zaman.

Ini adalah peringatan yang jelas, dipesan dalam hadis Rasul junjungan.

  1. Mudah-mudahan, ada yang faham pendekatan yang Zonkuliah amalkan yang juga menjadi identiti Ustaz Shamsuri Ahmad, sejak sekian lamanya.

  2. Wallahua’lam. Kami tak mau gaduh dengan orang. Kami cuma nak menyampaikan apa yang mampu disampaikan. 🙂


NOTA:

  1. Mengambil kira sahabat yang mungkin tak berkesempatan belajar sastera dan bukan dari generasi pendidikan KBAT, maka kami dengan berat hatinya sertakan penjelasan lanjut berkaitan analogi di atas bagi memudahkan lagi pemahaman. (Tengok la betapa sayangnya kami kat sahabat-sahabat semua 😆)

Rumusan:

  1. Dalam masyarakat yang semakin jauh dari zaman Nabi dan amalan para sahabat yang dijamin tsiqah oleh Nabi, para penyampai agama boleh diibaratkan seperti jari yang sakit yang cuba mengupas kulit kacang goreng yang keras. Proses ini memerlukan kesabaran, ketelitian, dan keseimbangan.

Analogi Kacang Goreng dan Jari yang Sakit:

  1. Jari yang Sakit: Penyampai agama yang berusaha menyampaikan ilmu dalam keadaan masyarakat yang penuh dengan cabaran dan fitnah. Mereka perlu berhati-hati dan tidak gopoh dalam menyampaikan ilmu agar tidak menimbulkan kekeliruan atau perpecahan.
  2. Kulit Kacang yang Keras: Masyarakat yang semakin jauh dari ajaran Nabi dan para sahabat. Kulit kacang yang keras melambangkan hati dan minda yang sukar menerima kebenaran tanpa penjelasan yang baik dan hikmah.
  3. Mengupas dengan Sederhana: Penyampai agama perlu bersederhana dalam pendekatan mereka. Tidak terlalu keras sehingga merosakkan isi (ajaran agama) dan tidak terlalu lembut sehingga gagal menyampaikan mesej yang benar. Mereka perlu mencari “garisan tengah” dalam setiap perbahasan dan penyampaian.
  4. Mengelakkan Perpecahan: Dengan pendekatan yang sederhana dan seimbang, penyampai agama dapat mengelakkan perpecahan dalam masyarakat. Ini penting agar agama yang indah tidak rosak akibat pertelagahan dan masyarakat tidak hilang hormat kepada agamawan.

Kesimpulan:

  1. Penyampai agama perlu bijak dalam menyampaikan ilmu, seperti jari yang sakit yang mengupas kulit kacang goreng dengan berhati-hati. Mereka perlu mencari keseimbangan dalam pendekatan mereka, agar masyarakat dapat menerima ajaran agama dengan baik tanpa menimbulkan perpecahan atau kekeliruan. Dengan cara ini, kita dapat menjaga kemurnian agama dan memastikan masyarakat terus menghormati para agamawan.

  2. Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah kurunku. Kemudian kurun selepas daripada mereka dan kemudian kurun selepas daripada mereka.” (HR Al-Bukhari)


  1. “Hai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (karena) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olokkan) dan jangan pula wanita-wanita (mengolok-olokkan) wanita-wanita yang lain (karena) boleh jadi wanita (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari wanita (yang mengolok-olokkan) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (QS Al-Hujurat: 11)
  2. [InsyaAllah kalau ada masa nanti kita cerita sikit lagi, falsafah-falsafah lain, untuk lebih jelas, bagaimana “menapis” apa yang kita dengar di zaman penuh fitnah ini]

Ulasan